Perkara pertama apabila bertemu pelanggan adalah membina hubungan mesra terlebih dahulu atau dalam BI dipanggil Build Rapport. Membina hubungan sangat penting dalam perniagaan dan ianya satu kemahiran yang wajib dimiliki oleh setiap jurujual yang inginkan kejayaan dalam jualannya.
Seseorang biasanya akan lebih mempercayai rakannya daripada orang lain, jadi tugas jurujual adalah membina hubungan dan menjadikan pelanggan seolah-olah seperti seorang kawan walaupun ia baru mengenali pelanggan tersebut. Apabila pelanggan menerima jurujual sebagai seorang kawan barulah dia akan selesa untuk menerima pandangan dari jurujual tadi.
Disinilah kepentingan membina hubungan erat dahulu sebelum memulakan proses membuat persembahan kepada pelanggan. Pastikan pelanggan dalam keadaan selesa dahulu dan serasi dengan anda kemudian barulah perlahan-lahan pergi ke topik yang hendak dibincangkan. Biasanya proses untuk membina hubungan tidaklah memerlukan masa yang lama namun cukup sekadar berbual-bual kosong untuk menjadikan pelanggan dalam keadaan selesa untuk berbual.
Perbualan boleh berkisar isu semasa, tempat, keadaan diri, situasi, cuaca dan pelbagai lagi topik. Anda hanya perlu buka mulut berbual-bual dengan pelanggan tentang perkara yang difikirkan sesuai dengan situasi semasa. Pelanggan akan selesa apabila seseorang duduk berbual tambahan pula kalau topik yang diminatinya. Sebagai jurujual kita haruslah bijak mencari apakah topik yang menjadi kegemaran atau minat pelanggan, dengan ini kita berada serentak dan seirama dengan pelanggan dalam topik perbualan.
Jangan biarkan perbualan berakhir tanpa apa-apa tindaka yang menjuruskan ke arah tujuan atau topik utama anda iaitu memberitahu mengenai produk atau perkhidmatan. Bawa perbualan dari topik umum kepada topik yang ingin anda huraikan dengan perlahan-lahan tanpa pelanggan merasa terdesak. Anda boleh bertanyakan soalan yang berkaitan produk anda dalam kehidupan seharian pelanggan sebagai contohnya anda seorang jurujual produk kesihatan, tanyakan berkaitan kesihatannya, pernahkan masuk hospital, atau inginkah anda kongsikan cara untuk kekalkan kesihatan dan banyak lagi soalan yang boleh dikemukakan asalkan ianya berkaitan.
Secara kesimpulannya bina dahulu hubungan mesra dan erat dengan pelanggan sebelum anda memulakan usaha untuk menjual produk anda dengan bertanyakan khabar, berbual berkaitan isu semasa, bertanyakan soalan dan seterusnya berkongsi mengenai produk anda.
Bina Hubungan Dengan Pelanggan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)






0 comments:
Post a Comment