RSS

Kenalpasti Kehendak Pelanggan

Sebagai seorang jurujual yang hebat anda bertindak sebagai seorang konsultan kepada bakal pelanggan dimana anda perlu mengenalpasti apakah kehendak atau keinginan mereka supaya mudah anda berikan penyelesaiannya.

Tugas ini bukanlah mudah tapi tidaklah terlalu susah dimana pada peringkat awal perlulah diwujudkan dahulu hubungan antara jurujual dengan bakal pelanggan. Cuba untuk berkawan dahulu untuk memudahkan jurujual mempengaruhi pelanggan nanti.

Apabila bakal pelanggan sudah selesa dengan jurujual barulah boleh bercerita tentang produk secara perlahan-lahan dan cuba buat beberapa pertanyaan berkenaaan dengan produk yang hendak dijual nanti.

Pastikan bakal pelanggan itu benar-benar memerlukan produk tersebut dan dia adalah orang yang tepat dan berkemampuan untuk membelinya. Selain dari bertanya soalan untuk mengetahui tentang keperluan bakal pelanggan kepada produk tersebut ia juga boleh memberikan maklumat tambahan tentang pelanggan dan produk yang ingin dijual.

Setiap pelanggan akan memberikan respon yang berbeza terhadap keperluan terhadap produk yang diperkenalkan dan dari satu jurujual dapat belajar dan memahami respon, bantahan dan persoalan yang berkaitan produk anda.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Bina Hubungan Dengan Pelanggan

Perkara pertama apabila bertemu pelanggan adalah membina hubungan mesra terlebih dahulu atau dalam BI dipanggil Build Rapport. Membina hubungan sangat penting dalam perniagaan dan ianya satu kemahiran yang wajib dimiliki oleh setiap jurujual yang inginkan kejayaan dalam jualannya.

Seseorang biasanya akan lebih mempercayai rakannya daripada orang lain, jadi tugas jurujual adalah membina hubungan dan menjadikan pelanggan seolah-olah seperti seorang kawan walaupun ia baru mengenali pelanggan tersebut. Apabila pelanggan menerima jurujual sebagai seorang kawan barulah dia akan selesa untuk menerima pandangan dari jurujual tadi.

Disinilah kepentingan membina hubungan erat dahulu sebelum memulakan proses membuat persembahan kepada pelanggan. Pastikan pelanggan dalam keadaan selesa dahulu dan serasi dengan anda kemudian barulah perlahan-lahan pergi ke topik yang hendak dibincangkan. Biasanya proses untuk membina hubungan tidaklah memerlukan masa yang lama namun cukup sekadar berbual-bual kosong untuk menjadikan pelanggan dalam keadaan selesa untuk berbual.

Perbualan boleh berkisar isu semasa, tempat, keadaan diri, situasi, cuaca dan pelbagai lagi topik. Anda hanya perlu buka mulut berbual-bual dengan pelanggan tentang perkara yang difikirkan sesuai dengan situasi semasa. Pelanggan akan selesa apabila seseorang duduk berbual tambahan pula kalau topik yang diminatinya. Sebagai jurujual kita haruslah bijak mencari apakah topik yang menjadi kegemaran atau minat pelanggan, dengan ini kita berada serentak dan seirama dengan pelanggan dalam topik perbualan.

Jangan biarkan perbualan berakhir tanpa apa-apa tindaka yang menjuruskan ke arah tujuan atau topik utama anda iaitu memberitahu mengenai produk atau perkhidmatan. Bawa perbualan dari topik umum kepada topik yang ingin anda huraikan dengan perlahan-lahan tanpa pelanggan merasa terdesak. Anda boleh bertanyakan soalan yang berkaitan produk anda dalam kehidupan seharian pelanggan sebagai contohnya anda seorang jurujual produk kesihatan, tanyakan berkaitan kesihatannya, pernahkan masuk hospital, atau inginkah anda kongsikan cara untuk kekalkan kesihatan dan banyak lagi soalan yang boleh dikemukakan asalkan ianya berkaitan.

Secara kesimpulannya bina dahulu hubungan mesra dan erat dengan pelanggan sebelum anda memulakan usaha untuk menjual produk anda dengan bertanyakan khabar, berbual berkaitan isu semasa, bertanyakan soalan dan seterusnya berkongsi mengenai produk anda.




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Jual Diri Anda Dahulu Sebelum Menjual Produk

Dalam jualan kita sentiasa berurusan dengan pelanggan dimana setiap hari pelanggan yang kita jumpa akan memberikan pelbagai reaksi samada positif mahupun negatif. Dalam menghadapi pelanggan kita hendaklah menjual diri kita terlebih dahulu sebelum boleh menjual sesuatu produk ataupun perkhidmatan.

Bagaimana nak jual diri kita dahulu, ok sebenarnya dalam bidang jualan pelanggan lebih selesa berurusan apabila telah kenal dan mesra dengan kita sebagai jurujual. Menjual diri disini bermaksud menunjukkan peribadi yang baik kepada pelanggan samada dari segi imej, mimik muka, perbualan dan pergaulan. Jangan tunjukkan imej yang negatif kepada pelanggan dimana perbuatan ini akan menyebabkan pelanggan kurang selesa dan yakin dengan diri kita.

Apabila berurusan dengan pelanggan pastikan kita bersiap sedia dari segi fizikal, mental, emosi dan ilmu mengenai produk. Bayangkan anda seorang jurujual yang hebat dimana pakaian, semangat, profesionalisme dan pengetahuan anda telahpun cukup lengkap sebelum berjumpa pelanggan dan ini akan lebih memudahkan anda membuat jualan kerana ciri-ciri jurujual berjaya telahpun ada pada diri anda.

Manusia biasanya akan menilai seseorang pada pandangan pertama, jika imej anda menonjolkan diri seorang jurujual hebat maka anda telah berjaya menarik perhatian pelanggan tapi jika imej anda tidak menunjukkan diri seorang jurujual yang hebat dimana pakaian anda selekeh, kurang keyakinan, kurang pengetahuan produk maka akan hilang kepercayaan pelanggan kepada diri anda.

Tampilkan diri anda sebagai seorang jurujual hebat dengan mengenakan pakaian, perwatakan, perbualan dan pergaulan yang sesuai supaya anda mudah diterima oleh pelanggan pada kali pertama berjumpa dan apabila proses ini selesai maka lebih mudahlah anda membuat jualan produk atau perkhidmatan anda.

Tonjolkan akhlak yang baik semasa bercakap, bertanya dan menangani bantahan dan pastikan banyakkkan bersabar dan bertindak secara profesional. Jika pelanggan menolak tangani dengan hati yang tenang dan jangan memarahi pelanggan serta bina hubungan sebagai seorang kawan walaupun pelanggan tidak membeli produk atau perkhidmatan anda pada waktu tersebut.

Siapa sangka dengan akhlak yang kita tunjukkan itu, pelanggan akan datang kembali dan mencadangkan beberapa lagi rakan-rakannya untuk membeli produk daripada kita, jadi jangan lupa dan tidak rugi untuk menunjukkan akhlak dan sikap profesional kepada pelanggan setiap masa.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS